Puisi : A. Samad Said
Muzik: Az Samad
Peludah Warna
Kuasa gusar kini menggelegak murka,
Warna kuning diisytihar racun berbisa,
Diragutnya baju-T segeram tenaga,
dan diumum itulah busana bahaya.
Tapi, kita jahit semula perca kain,
Menjadikannya panji terindah dan tulen.
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu,
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.
Kini chaya mentari mungkin diramas,
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna,
sedang berhimpun lendir kahak sebanyaknya.
Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.
1.7.11 A.Samad Said
Tiada ulasan:
Catat Ulasan